“What you give you get back” – Ahmad Zahid

0
1

LAWAN Barisan Nasional (BN) kini sedang takut jika gabungan itu kembali mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka semua takutkan bayang-bayang sendiri seperti istilah “what you give you get back” selepas kezaliman yang mereka lakukan semasa berkuasa.

Beliau berkata, sebab itu lawan BN sangat membantah PRU-15 diadakan kerana menjangkakan BN akan kembali mentadbir negara dan membalas dendam.

“Seperti saya nyatakan berulang kali saya tiada sifat dendam, sentiasa memaafkan tapi tidak melupakan. “I will always forgiven but i will never forget”

“Justeru, lawan BN dan rakan-rakan subahatnya sila tenang-tenang sahaja. PRU-15 adalah tentang mengembalikan hak rakyat untuk memilih.

“PRU-15 adalah tentang usaha rakyat mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia. Yakini rakyat buat pilihan terbaik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PRU-15 digunakan pemimpin Umno untuk menyelamatkan diri dari dihadapkan ke mahkamah kerana jenayah yang dilakukan.

Ahmad Zahid turut menjelaskan kenyataannya ketika Perhimpunan MIC sebelum ini disalah tafsir oleh Dr Mahathir yang mengatakan beliau mengaku mengenainya.

“Kenyataan saya dalam Perhimpunan MIC bermaksud pendakwaan terpilih. Pendakwaan bermotifkan politik.

“Pendakwaan yang sengaja direka dan diada-adakan oleh musuh BN untuk menzalimi, merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin BN sekiranya mereka menang PRU-15 nanti,” katanya.

Menurutnya, ia seperti yang dilakukan lawan BN sejurus memegang kuasa pentadbiran negara selepas menang PRU-14 pada 9 Mei 2018.

“Intipatinya adalah pendakwaan politik, pendakwaan terpilih, pendakwaan zalim yang penuh dengan muslihat serta tipu daya demi memperkukuhkan kuasa.

“Namun ianya akan menjadi suci dan selamat jika bersekongkol dan bersama dengan mereka. Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup lompat parti untuk menyelamatkan diri agar terus suci,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak perlu menjelaskan butiran dalam perhimpunan BN kerana pimpinan, ahli BN, malah majoriti rakyat memahami mesej yang disampaikan.

“Hentikanlah propaganda seperti itu kerana ia tidak merungkai kebenaran iaitu lawan BN yang sedang takutkan bayang-bayangnya sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here