Muhammad Aiman
Hantaran Facebook Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan parti itu.
Ia memberi bayangan bahawa parti itu berkemungkinan akan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).
“Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.
“Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula,” tulis Ahmad Zahid dalam satu hantaran, hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid membayangkan parti itu akan mengambil satu keputusan besar selepas keputusan mahkamah terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Saya amat simpati dan berasa sedih bukan hanya sebagai seorang Presiden Umno, yang paling penting, beliau adalah sahabat saya. Tapi ini bukan penghujung dunia.
“Ada proses selepas ini, namun, tentunya kita akan mengambil suatu keputusn politik yang agak besar hasil daripada keputusan yang dibuat hari ini.
“Saya harap kita belapang dada dan bersikap terbuka terhadap apa juga keputusan yang akan dibuat oleh parti,” katanya ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

