Fitri Nizam
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang dijangka memanfaatkan sehingga 3 juta individu dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata terdapat dua golongan individu yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan ini iaitu individu yang kehilangan pekerjaan dan individu yang terjejas akibat gajinya berkurangan.
“Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan.
“Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” katanya ketika mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar, hari ini.
Beliau berkata, bagi individu yang masih bekerja tetapi gajinya terjejas atau berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.
“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.
“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya.
Peminjam yang layak bolehlah menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos depan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, syarikat perbankan telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat COVID-19.
“Antara bantuan yang ditawarkan adalah membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.
“Bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli, sebagai contoh memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah,” katanya.
Langkah yang diambil kerajaan Perikatan Nasional ini dijangka akan memanfaatkan 3 juta individu dan
PKS namun sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya.

