Dua murid sekolah rendah di Sabah disahkan positif Covid-19

0
3

Covid-19 | Murid sekolah rendah di Sabah disahkan positif Covid-19 Isnin lalu, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata rakan sekelas dan keluarga pesakit juga sudah diperintahkan untuk menjalani kuarantin, lapor Borneo Today.

“Kesemua kontak kepada murid sekolah itu telah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Isnin, tular di media sosial menyatakan terdapat murid sebuah sekolah di Inanam di Kota Kinabalu dikesan positif Covid-19.

Kedua-dua murid dikesan positif apabila mereka mendapatkan rawatan kesihatan di klinik kesihatan berhampiran.

JKNS turut mengadakan ujian Covid-19 ke atas 37 rakan sekelas murid berkenaan serta ibu bapa dan lapan guru yang juga kontak kepada kedua-dua pesakit.

Berikutan itu, Dr Christina mengingatkan ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya mempunyai gejala demam dan membawanya ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Beliau juga mengingatkan pelajar mematuhi penjarakan sosial dan memakai pelitup muka serta rajin mencuci tangan dengan sabun.