Anak Musa Aman dilantik pengerusi Felcra

0
2

Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, 42, dilantik Pengerusi Felcra Berhad (Felcra) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman itu menggantikan Datuk Shabudin Yahya yang dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 6 Julai lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, pelantikan Yamani Hafez itu mampu membawa inovasi dan inisiatif baharu bagi memacu Felcra.

“Saya percaya beliau dapat memperkenalkan semangat inovasi dan inisiatif tinggi melalui pengalaman luasnya di sektor korporat dalam memperhalusi hala tuju Felcra berdasarkan usaha-usaha transformasi yang dimulakan pengurusan kanan diketuai Mohd Nazrul Izam Mansor,” katanya.

Yamani Hafez, bekas Ketua Pemuda Umno Sabah, berkelulusan Sarjana Muda Perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand pada 2000.

Beliau juga penerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2012 dan berpengalaman dalam bidang pemasaran teknologi maklumat.

Beliau juga menjadi Pengerusi Seaoffshore Group dan pemegang saham terbesar Handal Energy Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia.