PENDIRIAN Gerakan Tanah Air (GTA) mengenai cadangan tarikh pembubaran Parlimen hanya akan dinyatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.
Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ketika ini pihaknya masih bertegas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sepatutnya diadakan pada musim banjir.
“Kalau mereka buat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, kita akan buat keputusan sama ada nak bantah atau menyokong.
“Kita berpendapat bahawa sepatutnya mengadakan pilihan raya di waktu kita tidak menghadapi banjir besar supaya semua yang mengundi selamat dan mengundi dengan baik,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Suara Tanah Air, Cyberjaya, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, waktu yang sesuai untuk pilihan raya diadakan adalah selepas musim tengkujuh apabila semuanya selamat.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, tindakan Umno mahu mengadakan PRU-15 pada akhir bulan ini atau November kerana ia adalah tarikh yang menguntungkan parti itu.
Katanya, pilihan raya yang dijalankan pada musim banjir hanya akan menguntungkan Umno kerana ramai yang menyokong parti lain termasuk GTA tidak dapat keluar mengundi.
“Sebab itu mereka merancang mengadakan pilihan raya walaupun hujung bulan ini atau hujung November supaya walaupun kita hadapi banjir dan tak dapat keluar mengundi, mereka akan dapat sokongan daripada orang yang disogok mereka.
“Mereka tak peduli kalau banjir ini akan menyebabkan ramai berdepan kesukaran,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai rancangan GTA memasuki PRU-15 jika tidak sempat mendapat kelulusan sebagai sebuah parti, Dr Mahathir berkata, pihaknya sudah ada Pelan B, namun enggan mendedahkan apakah yang akan dilakukan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berharap supaya ia dapat diluluskan segera.
“Kita diberitahu ada 30 parti yang meminta didaftar, oleh itu pendaftaran tidak dipercepatkan.
“Mungkin bulan ini mereka daftar, mereka beri pengakuan tiada masalah untuk mendaftar GTA kerana semua peraturan dan undang-undang dipatuhi,” katanya. – Malaysiapost

