Jangan tafsir perjumpaan Umno-Pas sebagai persetujuan kerjasama PRU-15 – Lokman Adam

0
1
Datuk Lokman Adam

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam meminta semua ahli Umno supaya bertenang dan tidak panik dengan perkembangan terkini mengenai kerjasama antara parti itu dengan Pas, sebaliknya menunggu keputusan rasmi daripada kepimpinan parti.

Menurutnya, ada pihak yang mentafsir perjumpaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai persetujuan kerjasama kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Ramai pihak yang menzahirkan kebimbangan dan risau kerana beranggapan bahawa dengan kenyataan dibuat Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan semalam seolah-olah seperti Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju membahagikan kerusi dengan Pas dalam PRU-15.

“Jangan buat kesimpulan terlalu awal kerana apa yang dikhabarkan Ahmad Maslan semalam ialah di dalam Mesyuarat MKT Umno, Presiden telah memaklumkan bahawa Presiden Pas telah bertemu dengan beliau. Itu sahaja yang dimaklumkan.

“Jangan kelam kabut bimbang terutama rakan di Kelantan dan Terengganu. Bertenang jangan pandang rendah kebijaksanaan pimpinan kita. Mereka tahu apa yang perlu buat dan pastinya sudah buat penilaian terhadap kesetiaan Pas selama ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berpendapat dalam keadaan Umno yang pernah dikhianati Pas walaupun sudah menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN), pimpinan Umno sudah pasti akan menetapkan syarat-syarat tertentu.

“Syarat paling penting sekali adalah kesetiaan daripada Pas dan bagi saya ia perlu dibuktikan dengan Pas membuat pilihan sama ada ingin terus bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) atau dengan Umno.

“Dan saya fikir tidak mungkin Pas akan bersetuju dengan syarat itu kerana Pas sehingga kini dilihat secara konsisten mahukan kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pembubaran Parlimen, beliau menjangkakan paling lewat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh melaksanakannya adalah pada 14 Oktober ini.

“Bila-bila masa PRU akan diadakan..saya jangkakan kalau tidak esok Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong, beliau boleh mengadap pada hari Rabu depan dan kemungkinan besar tidak ada pembentangan Belanjawan 2023.

“Atau mungkin belanjawan dibentangkan dan Parlimen boleh dibubarkan selepas itu pada 7 Oktober ini. Paling lewat pun mungkin pada 14 Oktober ini.

“Dan yang pasti pilihan raya akan berlaku pada awal November ini insya-Allah. Itu jangkakan saya yang mungkin silap dan mungkin betul,” katanya.

Justeru bagi tujuan itu, Lokman meminta semua ahli Umno dan BN agar menghentikan serangan sesama sendiri kerana kepimpinan parti percaya Perdana Menteri akan bubarkan Parlimen.

“Kalau sangsi juga tunggulah sehingga selepas 14 Oktober ini. Berikan sokongan padu kepada Presiden dan MKT serta Dewan Tertinggi BN untuk mereka buat keputusan terbaik bagi parti kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here