Boleh anjur majlis kahwin di kawasan PKPD, PKPB dengan syarat patuhi SOP

0
2

KERAJAAN setuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya ada menerima permintaan daripada orang ramai yang telah membuat persiapan awal untuk menganjurkan majlis kenduri kahwin.

Beliau berkata, penganjur mematuhi SOP sedia ada iaitu penjarakan fizikal, mengambil suhu dan mencatatkan nama, selain pengambilan makanan sama ada berbungkus atau disediakan oleh pramusaji.

Katanya, SOP turut ditambah iaitu perlu ada pengawasan dari segi pematuhan SOP supaya tiada sebarang pelanggaran ssmasa majlis berlangsung.

“Jika di kampung atau kawasan perumahan, kita cadang guna Rela untuk mengawasi perjalanan majlis supaya boleh memantau pematuhan SOP.

“Misalnya majlis yang kurang 100 tetamu, boleh menggunakan khidmat dua anggota Rela, manakala majlis dengan tetamu antara 100 hingga 200 orang membabitkan 3 Rela.

“Jika dianjurkan di hotel di kawasan PKPD atau PKPB, pihak hotel kena sediakan petugas untuk memantau perjalanan majlis bagi mematuhi SOP,” katanya.

Bagi jemputan di luar kawasan PKPD atau PKPB, mereka boleh hadir dengan menunjukkan kad jemputan kepada pihak keselamatan yang membuat sekatan jalan raya. – Malaysiapost