MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan perintah injunksi ad-interim (sementara) terhadap Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnahnya menerusi dua hantaran jelik, pada Ogos lalu.
Ismail Sabri memfailkan saman terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tersebut kerana memuat naik dua video pada tarikh 20 dan 22 Ogos lalu menerusi platform Facebook, lapor Utusan Online.
Peguam, Ragunath Kesavan menjelaskan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh juga melanjutkan perintah ‘ex parte’ (sebelah pihak) yang dikemukakan Ismail Sabri sehingga perbicaraan akan datang.
“Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan affidavit balas iaitu pada 11 Oktober bagi pihak defendan dan 25 Oktober bagi pihak plaintif.
“Sementara itu, kedua-dua pihak ini juga akan failkan penghujahan bertulis selewat-lewatnya pada 8 November akan datang,” katanya.
Mahkamah juga menetapkan 29 November akan datang bagi tarikh pendengaran kes.
Bagi prosiding hari ini, Ismail Sabri diwakili oleh peguam, Tai Yong Fung manakala Lokman diwakili oleh peguam, S Suresh.
Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno memfailkan saman atas kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 8 September lalu, dengan menamakan Lokman sebagai defendan.
Kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri itu, serta parti politik lain bertentangan dengan Umno.
Ia untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.
Satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu, juga dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun, hingga kini Lokman gagal berbuat demikian.
Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Malaysiapost

