Mesej palsu kes penculikan dan penjualan organ kanak-kanak tersebar lagi

0
2
Polis Di Raja Malaysia

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berlaku kes penculikan dan penemuan enam kanak-kanak yang didakwa dilarikan menaiki lori ayam serta cuba diseludup ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ seperti mesej yang kini tular di media sosial.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata mesej palsu itu dikesan disebarkan di media sosial meminta masyarakat berwaspada berkaitan kejadian penculikan membabitkan sekumpulan kanak-kanak.

Menurutnya, mesej berkenaan mendakwa kanak-kanak terbabit diberi bahan terlarang yang menyebabkan mereka tidak mampu bercakap untuk memudahkan mereka dilarikan menaiki lori ayam ke negara jiran bagi tujuan pemindahan organ.

“Mesej tersebut juga mendakwa bahawa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak.

“Semakan mendapati mesej palsu tersebut telah tular sejak 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

“PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dan menyebabkan berita-berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebabkan sebarang berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here