Bapa saya dah tenggelam…. Ya Allah…

0
3

SEORANG lelaki dijumpai berpaut pada pelampung pukat oleh sekumpulan pemancing selepas bot dinaiki bersama bapanya karam di perairan Batu Laut, Kuala Langat, Selangor, semalam.

Kedua-duanya dipercayai keluar merawai ikan pada jam 8 pagi namun kira-kira dua jam kemudian bot mereka karam.

Menerusi satu video yang tular, kumpulan pemancing terbabit bertanya kepada mangsa apa yang berlaku, sebelum menjawab: Bapa saya…. bapa saya dah tenggelam.”

Kumpulan pemancing tersebut kemudian berkata “Ya Allah…. Ya Allah…” sebelum mereka berusaha menyelamatkan mangsa.

Sementara itu memetik laporan Harian Metro, pemancing, Mohd Saufi Yusof, 28, berkata, ketika perjalanan pulang dari memancing, mereka dengar suara meminta tolong dan melihat seorang lelaki berpaut pada pelampung pukat di tengah laut.

Katanya, ketika kejadian dia bersama empat rakan dalam perjalanan pulang ke jeti di Batu Laut pada jam 4.30 petang.

“Kami terus menghampiri dan bertanya sama ada dia rakyat tempatan atau atau pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mendapatkan identiti mangsa.

“Mangsa memperkenalkan diri sebagai Farizal berasal dari Kampung Kundang, Tanjung Sepat dan memaklumkan bot dinaiki bersama bapanya karam pada jam 10 pagi di ketika keluar merawai ikan.

“Ketika diselamatkan mangsa berada kira-kira enam kilometer dari jeti Batu Laut,” katanya.

Mereka kemudian membawa mangsa ke jeti dan menghubungi polis serta ambulans untuk bantuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dua beranak berkenaan daripada sepupu mangsa, Abdul Rashid Jakid pada jam 5.42 petang semalam.

Katanya, mangsa yang hilang adalah Ab Rahman Mat Kasim, 66, manakala anaknya yang diselamatkan dikenali Farizal, 40-an.

“Berdasarkan keterangan anak mangsa, bot dinaiki mereka karam di kawasan perairan Batu Laut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat digerakkan semalam kerana hari semakin gelap dan keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

SAR disambung pada jam 8 pagi hari ini dengan bantuan anggota polis, bomba dan nelayan bagi membantu mengesan mangsa yang hilang. – Malaysiapost