Tutup sekolah catat kes Covid-19, jangan dedah murid, guru dengan risiko

0
2

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melahirkan kebimbangan apabila sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 tetap berjalan seperti biasa.

Presidennya, Adnan Mat berkata pihaknya mendapat maklum balas hampir semua sekolah yang merekodkan kes Covid-19 tidak kira sama ada murid atau guru, mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.

Katanya, kemerosotan kehadiran murid berasas kerana ibu bapa pasti bimbang keselamatan anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan Covid-19.

“Dalam hal ini CUEPACS mencadangkan agar mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19 perlu ditutup sementara waktu bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan sewajarnya.

“Penutupan sementara ini wajar bagi membolehkan proses mengenal pasti kontak rapat dapat dilaksanakan sekali gus mengelakkan risiko penularan lain.

“Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, CUEPACS bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adnan berkata penutupan sementara sekolah membolehkan kerja pembersihan dan sanitasi dapat dijalankan dengan lebih lancar tanpa kehadiran murid.

Beliau juga mengingatkan apabila melibatkan kes Covid-19 di sekolah, kontak rapatnya adalah terlalu ramai.

“Penutupan sekolah ini tidak perlu mengambil tempoh panjang, cukup sekadar saringan kontak rapat dan kerja sanitasi selesai dilaksanakan.

“Langkah ini tentu memberi keyakinan terhadap keselamatan kepada ibu bapa dan warga sekolah termasuk guru-guru,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali semasa sesi lawatan beliau ke sekolah pada 24 Jun 2020.

“YB Timbalan Menteri memaklumkan sekolah yang merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Tindakan itu antara Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat dikawal,” katanya.

Berikutan itu, Adnan menegaskan adalah wajar sekiranya Kementerian Pendidikan, KKM serta Majlis Keselamatan Negara menutup sementara sekolah-sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19.

“Jangan kita merisikokan warga sekolah dengan pelbagai prosedur tambahan dan tidak perlu. Keutamaan adalah memastikan keselamatan warga sekolah dan mencegah penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost