4 gadis dari London tersekat di Itali kerana positif Covid-19

0
2

[Dunia] EMPAT remaja perempuan dari Britain terperangkap di sebuah hotel di Palermo di Itali selama sebulan akibat penularan Covid-19.

Kesemua mereka berasal dari London Selatan tiba di Palermo, Sisilia pada 8 September lalu bagi menikmati percutian sekolah selama seminggu, lapor Dailymail.

Rachel Goldsmith, Lily Griffin dan LilyRose Wallace, masing-masing berusia 18 tahun serta Millie Acers, 19, bercuti di Sicily sebelum didapati positif virus itu pada 15 September, hari yang sepatutnya mereka pulang ke London.

Mereka semua kemudian ditempatkan secara berasingan di hotel berkenaan dengan kawalan ketat oleh polis bersenjata dan tentera.

Mengikut undang-undang kesihatan Itali, individu yang diuji positif perlu negatif Covid-19 sebanyak dua kali untuk dibebaskan dari perintah kawalan.

Berikutan itu, Millie merupakan orang pertama antara mereka yang dibenarkan pulang, Ahad lalu setelah dua kali diuji negatif namun Rachel, Lily dan LilyRose diuji positif untuk kali ketiga minggu ini.

Oleh itu, mereka sekarang dalam keadaan ketakutan dan meminta bantuan kerajaan British kerana mungkin terperangkap di sana beberapa minggu lagi. – Malaysiapost