INTIPATI langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini, adalah berpandukan beberapa keperluan yang sangat mendesak khususnya ketika negara dilanda Covid-19.
Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata beliau menyedari reaksi dan kritikan pelbagai pihak yang mempersoal kewajaran sama ada ini masa sesuai berbuat demikian, ketika rakyat menderita kesan daripada Covid-19.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan usaha itu perlu dilakukan bagi mengembalikan mandat asal yang diamanahkan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018 setelah dijatuhkan oleh ‘Langkah Sheraton’ semasa Covid-19 sudahpun melanda negara.
Katanya, mandat asal akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan ia sangat diperlukan pada saat krisis.
Pada masa sama menurutnya, ia perlu bagi membentuk majoriti yang kukuh kerana kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat rapuh sedangkan semasa krisis seperti ini, sebuah kerajaan yang kukuh majoritinya sangat diperlukan.
“Dan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada kekuatan itu untuk menyumbang kepada pengurusan krisis Covid-19 dengan sokongan majoriti lebih padu dan kukuh.
“Selain itu, mengembalikan kedudukan kuasa yang diambil secara demokratik oleh PH dahulu selepas kes awalan yang buruk ditunjukkan oleh Langkah Sheraton supaya tindakan sebegitu rupa tidak lagi berulang.
“Langkah DSAI adalah ‘rebooting’ situasi untuk memelihara semula proses demokrasi dan prinsipnya supaya mana-mana kerajaan yang akan dibentuk di masa hadapan mestilah daripada mandat rakyat melalui pilihan raya dan bukan ‘tebuk atap’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mujahid mendakwa, langkah Anwar menolak kelompok pihak berfikiran perkauman sempit yang menjadi pendokong tegar terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN), akan mewujud semangat perpaduan nasional yang akan menyumbang kepada penyelesaian krisis Covid-19.
Pada masa sama, katanya, kerajaan PN membuat sesuatu yang tak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan, iaitu Kabinet yang bersaiz xxxl, jaminan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Ahli Parlimen dan hasilnya ialah anggota Kabinet tidak kompeten dan Ahli Parlimen hilang fokus mengendalikan krisis.
“Bagaimana dasar dan keputusan semasa dapat dijayakan jikalau anggota Kabinet xxxl gagal berfungsi? Bagaimana pula persepsi penguatkuasaan yang dilihat berlaku secara sistem berkasta?
“Jangan biarkan negara ini yang dilanda krisis pandemik dikendalikan kerajaan tanpa mandat rakyat, lemah dan tanpa hala tuju nasional, kelak kita akan menyesal kerana mempertikaikan soal kewajaran atau atas alasan gencatan senjata,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak orang ramai berdoa agar ‘Langkah DSAI’ akan sampai dengan izin Allah pada 13 Oktober nanti di balai mengadap istana.
“Saya ingin ingatkan, jika sampai masanya nanti usahlah kita berseronok dan bersorak, kita harus insaf dan rendah diri kerana bebanan atas bahu DSAI dan majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya lebih berat dari apa yang boleh kita bayangkan.
“Ia bukan tentang politik kuasa tetapi amanah dan taklif menguruskan negara di saat krisis,” katanya.
Semalam, Anwar memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 13 Oktober ini.
Anwar berkata beliau akan mempersembah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana disebutkannya sebelum ini. – Malaysiapost

