PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyambut baik saranan Timbalan Presidan PKR, Rafizi Ramli untuk memastikan parti itu tidak bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, gabungan Muda dan PH adalah tawaran terbaik kepada rakyat.
“Saya menyambut baik ketekunan Timbalan Presiden PKR kepada perbincangan Muda ke dalam PH,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Amira Aisya berkata, apabila Muda mengumumkan niat untuk menyertai PH sebagai parti komponen minggu lalu, beliau turut tekankan dua perkara utama bagi memastikan pembangkang bergerak seiring.
“Pertama, kerusi yang Muda sasarkan bagi PRU15 adalah kerusi Umno-BN dan PN (Bersatu dan PAS).
“Kedua, misi utama Muda bagi PRU15 adalah memastikan kemenangan untuk rakyat dan blok pembangkang,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, rundingan kerusi, strategi pilihan raya dan komunikasi antara parti tentu akan berjalan lebih baik jika berada dalam satu gabungan yang sama.
“Justeru, saya juga berpesan kepada orang ramai termasuk ahli parti – kita harus beri ruang yang cukup kepada pimpinan Majlis Presiden PH untuk berbincang.
“Ini bukan hal kecil dan remeh. Kita harus hormat ruang dan masa kepada rakan-rakan untuk adakan perbincangan rasmi kerana paling penting, kita mahu rakyat dapat manfaat dari hubungan politik antara parti ini,” katanya.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdull Rahman sebelum ini mengumumkan parti pimpinannya akan bertanding 15 kerusi Parlimen.
Semalam, media melaporkan Rafizi memberi jaminan tidak akan berlaku pertembungan kerusi dengan Muda pada PRU15 seperti terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. – Malaysiapost

