BEKAS kapten Harimau Malaya, Shukor Adan hari ini diumumkan sebagai pemain baharu pasukan amatur berpangkalan di Selangor, Kelana United.
Kehadiran Shukor, 43, diumumkan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi kelab tersebut hari ini.
Pemain yang pernah menjulang semua kejuaraan liga tempatan itu menyertai beberapa bekas pemain yang beraksi di kelab tersebut antaranya Razman Roslan, Azmeer Yusof serta Asraruddin Putra Omar.
“Mengumumkan pemain terbaru @kelanaunited bagi saingan Selangor Champions League. @shukoradan.
“Beliau merupakan bekas pemain professional untuk pasukan Negeri Sembilan, Selangor, ATM, Felda, Melaka, Kuala Lumpur dan juga mempunyai pengalaman di peringkat Kebangsaaan. Sang lagenda yang tak perlu di perkenalkan lagi, kini membarisi skuad Kelana United .
“Pengalaman berharga dan didikan Shukor Adan pastinya ditagih pemain muda Kelana United untuk masa akan datang,” tulis kelab tersebut.
Kali terakhir Shukor beraksi di pentas kompetetif adalah pada final Piala Malaysia 2021 ketika membantu KL City FC menewaskan Johor Darul Ta’zim, Disember tahun lalu.
Dia kemudian menyertai barisan kejurulatihan KL City FC yang diketuai Bojan Hodak. – Malaysiapost

