Ubah sistem pengesahan ‘online banking’ bagi elak jenayah scammer – Fahmi

0
2

KERAJAAN digesa mengambil tindakan lebih proaktif berhubung jenayah ‘scammer’ yang berasaskan penipuan atau penyamaran identiti yang berniat jahat.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata sehubungan itu pihaknya mencadangkan tujuh tindakan perlu diambil pihak berkuasa bagi membantu mangsa, memperkemas sistem dan mengelak lebih ramai terjebak.

Katanya, kerajaan perlu mewujudkan pusat sehenti bantuan scammer melibatkan agensi-agensi antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) di tiga kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kedua, mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian iaitu dari SMS TAC kepada sistem lebih selamat dan tepat identiti, contohnya pengesahan berdasarkan hanya peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank.

“Selain itu mengarah bank atau institusi kewangan melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi melibatkan jumlah besar dan/atau berulang, dan bagi transaksi di luar kebiasaan aktiviti akaun bank tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan yang sedang diusahakan Monetary Authority of Singapore, agar mangsa scammer yang disahkan mendapat bantuan pampasan sebaik mungkin.

Katanya, langkah keempat semua syarikat telekomunikasi melalui SKMM boleh membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon, mirip skrip atau dialog scammer dengan amaran untuk tidak mengendah panggilan scammer seperti itu.

“Kelima, mewajibkan bank dan serta mana-mana institusi kewangan lain yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-wallet) untuk menerbitkan di dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes scam serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis,

“Ia supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sesi perbincangan perlu dibuat dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalahguna oleh scammer, bagi mengambil langkah pantas mengekang jenayah terus merebak.

Katanya, selain itu pihak berkuasa mendapatkan kerjasama Asean dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here