Peristiwa ini akan mengubah dinamik parti, kata Hishammuddin

0
3

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak semalam, akan mengubah dinamik parti Umno.

Menteri Luar Negeri itu berharap kepimpinan Umno dapat membawa parti ke arah yang betul, dengan meletakkan kepentingan parti, kerajaan dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Nasihat saya kepada semua, kekal bertenang dan jangan buat pendirian terburu-buru apatah lagi berlandaskan emosi,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Hishammuddin berkata beliau menerima keputusan mahkamah dengan perasaan yang bercampur-baur.

“Walaupun keputusannya berat, namun saya kagum dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan Datuk Sri Najib menghadapi ujian selama ini.

“Saya pasti, beliau akan terus melalui proses rayuan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan Najib menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan kelak.