‘Andalah rakan dan keluarga yang saya ada’

0
2

Datuk Seri Najib Razak mengakui amat tersentuh melihat begitu ramai datang memberi sokongan, pada hari beliau dijatuhkan hukuman berkaitan kes dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ia adalah perkara yang tidak disangkanya melihat wajah anak-anak muda, warga emas, pakcik dan makcik, termasuk yang bertongkat dan dipapah, selain orang kurang upaya berkerusi roda.

Beliau juga menghargai rakan-rakan parti yang hadir dari seluruh negara, namun kebanyakan mereka yang lain tidak beliau kenali dari segenap lapisan masyarakat.

“Saya diberitahu ada di kalangan mereka orang kampung. Ada di kalangan mereka pekerja kontrak. Ada di kalangan mereka peniaga kecilan, buka warung, pengusaha kantin.

“Segenap lapisan masyarakat yang menerima manfaat dan bantuan daripada dasar ketika saya Perdana Menteri dahulu,” tulisnya menerusi Facebook Najib Razak lewat malam tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata secara ikhlas dari hati beliau mahu sampaikan satu mesej kepada semua kerana tidak dapat berjumpa dan membalas ucapan sokongan satu persatu.

“Maafkan saya. Izinkan saya sampaikan penghargaan di sini. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih tidak terhingga.

“Tidak saya sangka. Saya ada ‘aset’ yang begitu bernilai dalam saudara-saudari. Persahabatan sejati.

“Di hari saya sudah tidak berkuasa ini. Di hari saya sudah tiada apa-apa. Saya masih ada persahabatan sejati dan sokongan ikhlas rakyat,” katanya.

Selanjutnya Najib berkata ia bukan pengakhiran kerana perjalanan masih jauh dengan proses lanjutan di peringkat kehakiman seterusnya.

“Saya mahukan keadilan.”

Beliau turut menyentuh mengenai kritikan terhadap ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika penyokongnya bersesak-sesak di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

“Mereka semua yang hadir patuh kepada peringatan polis serta-merta dan ada yang bersurai,” katanya.