PM umum lanjutan moratorium petang ini

0
2

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar petang ini.

Perdana Menteri dijadual mengadakan sidang media mengenainya pada jam 3 petang ini dan akan disiarkan secara langsung di semua stesen tv utama.

Perkara itu dinyatakan menerusi poster yang dimuat naik di laman Facebook Muhyiddin Yassin.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata institusi perbankan kini giat menghubungi peminjam yang terjejas akibat Covid-19 bagi membolehkan bantuan bersasar dilaksanakan.

Tengku Zafrul berkata dengan pembukaan semula sektor ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, ada individu yang mampu membayar semula pinjaman seperti biasa.

Bagaimanapun, masih terdapat peminjam yang tidak mampu kerana kehilangan pekerjaan atau disebabkan sektor ekonomi mereka yang terjejas.

“Bagi golongan ini, bantuan yang bersasar akan dipertimbangkan oleh institusi perbankan,” katanya.