Kerajaan patut lindungi rakyat, bukan kongsi keuntungan kenaikan OPR – Guan Eng

0
2

KERAJAAN sepatutnya melindungi rakyat dan bukan menuntut pihak bank berkongsi keuntungan atas kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, persepsi kuat bahawa kerajaan mengutamakan bank berbanding peminjam disahkan apabila memberi jaminan bahawa kenaikan OPR Bank Negara sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.5 peratus, tidak menguntungkan bank.

Ujarnya, akan tetapi kerajaan berkata pihak bank juga perlu membayar kadar faedah lebih tinggi kepada pendeposit. 

“Mempertahankan sektor perbankan seperti ini sehingga mengatakan OPR meningkat tidak mengkayakan bank, malah tidak disokong oleh firma penyelidikan saham bank itu sendiri pada 9 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan harus mengambil kira permintaan kumpulan terbawah peminjam individu dan komuniti perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi pengecualian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk tempoh kurang dari enam bulan. 

“Keuntungan sihat industri perbankan mampu menanggung kos pengecualian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk membantu golongan miskin dan PKS, 

“..mengatasi harga yang lebih tinggi, kejatuhan nilai ringgit yang cepat, kekurangan buruh yang teruk, kerenah birokrasi, kegagalan membuat keputusan dasar dan dasar yang berubah-ubah serta tadbir urus yang lemah,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan tidak mengetahui sama ada OPR akan dinaikkan lagi memandangkan keputusan itu hanya ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara (BNM).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan menentukan OPR, sama seperti negara-negara lain. 

“Jadi, secara jujur saya tidak tahu dakwaan sekiranya OPR akan naik lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, terdapat salah anggap kenaikan OPR yang didakwa mengkayakan pihak bank.

 “Apabila OPR naik, bank juga kena bayar kaedah faedah lebih tinggi kepada pendeposit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, OPR negara masih rendah berbanding negara lain yang naik sehingga lebih 200 mata asas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here