AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas kenyataan pemimpin Umno yang sanggup membahayakan nyawa rakyat semata-mata mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Beliau berkata, PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini kerana negara dalam persiapan menghadapi ancaman Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku November depan.
“Demi kuasa, sanggup membunuh rakyat dengan memaksa mereka berhadapan banjir!
“Tahun lepas bila banjir, rakyat hilang harta RM10 billion, 50 kematian, 500,000 rakyat terkesan.
“Bayangkan tahun ini, banjir + Pilihanraya? Menteri fokus undi, rakyat mati. Kerja gila!,” katanya dalam hantaran Facebook.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau yang juga Presiden Umno, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.
Ujarnya, susulan isyarat yang jelas itu pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.
“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding.
“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang tetapi tarikh belum ditetapkan.
“Jangan bincang sahaja…kena cepat jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras…PRU15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” kata Ahmad Zahid. – Malaysiapost

