PRU15: Selamat mendesak, sindir Ketua Pemuda PAS

0
1
KOTA BHARU 25 APRIL 2018. Calon PAS P022 Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di majlis pengisytiharan calon PAS Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang menampilkan 21 muka baru daripada 59 calon di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). NSTP/SYAMSI SUHAIMI

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir pihak yang sering mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini, supaya berusaha lebih ‘kuat’.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Fadhli turut menzahirkan kelegaan kerana Perdana Menteri masih belum memberi jaminan bahawa PRU15 akan diadakan dalam tahun ini.

“Alhamdulillah Perdana Menteri hingga saat ini masih belum memberikan jaminan bahawa pilihan raya akan diadakan tahun ini.

“(Ini) kerana Perdana Menteri tahu risiko banjir di hujung tahun boleh menyusahkan rakyat untuk mengundi sekalipun diasak dan didesak agar dibubarkan parlimen tahun ini,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli secara sinis mengucapkan ‘selamat mendesak’ kepada pihak terbabit yang bersungguh-sungguh mahukan PRU15 segera.

“Pihak yang beria-ia mahukan pilihan raya tahun ini nampaknya perlu lebih kuat mendesak dan mengasak Perdana Menteri yang sehingga ke saat ini masih kekal dengan pendirian tidak mengumumkan pilihanraya tahun ini. Selamat mendesak,” katanya.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN semalam, menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata.

Sehubungan itu, Ismail Sabri dalam majlis sama, mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ Umno berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan semangat dan sokongan Pemuda BN semalam, beliau akan berbincang dengan segera bersama Presiden dan Top Five. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here