Jika ia keterangan palsu, wajarlah dikenakan hukuman amat berat

0
4

SESEORANG jika membuat keterangan palsu yang menimbulkan kegemparan rakyat, apa lagi jika ia pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong, perlu dikenakan hukuman yang amat berat.

Perkara itu dinyatakan Pensyarah kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan media Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Anwar berkata beliau akan mempersembah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana disebutkannya sebelum ini.

Dr Kamarul Zaman berkata, mengumumkan ke seluruh pelosok negara dan dunia untuk mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah pernyataan yang amat besar impaknya kepada negara.

“Sebesar impaknya kepada negara, besarlah juga kesalahannya mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia jika keterangan itu adalah palsu.

“Ini kerana ia menimbulkan kegemparan rakyat, apa lagi jika ia adalah pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika ia adalah keterangan palsu, amat wajarlah pembuatnya dikenakan hukuman amat berat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau seterusnya berkata, jika keterangan itu benar, maka bersedialah untuk berdepan besar Pilihan Raya Umum. – Malaysiapost