PM ucap takziah kepada keluarga Paimuzi

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan tahziah kepada keluarga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia tengah hari tadi.

Muhyiddin berkata, beliau mendapat perkhabaran mengenai pemergian Allahyarham Paimuzi, tengah hari tadi.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang.

“Bagi pihak kerajaan, saya menzahirkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti Allahyarham semasa dalam perkhidmatan,” katanya menerusi Facebook.

Perdana Menteri berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada negara dan institusi agama Islam secara khususnya.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazah Allahyarham kerana sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Paimuzi disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru. -Malaysiapost