PEMUDA Umno dan Barisan Nasional (BN) menyokong sepenuhnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan negara.
Sokongan itu disuarakan Naib Ketua Pemuda Umno Selangor Amin Mohd Shukor yang menegaskan Pemuda Umno dan BN turut menyokong kepimpinan parti diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai antara peneraju terbaik.
Menurutnya, mereka juga yakin dengan apa yang diusahakan kerajaan hari ini adalah yang terbaik untuk rakyat dan perlu diteruskan.
“Pemuda juga menyatakan pendirian (menolak) sebarang usaha yang boleh memecah parti, memecahbelahkan keharmonian, mengakibatkan keretakan atau usaha mengadu domba oleh mana-mana pihak dan entiti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Apa yang penting kita perlu harmoni dan pasukan kena kuat kerana yang utama hari ini adalah rakyat. Kita menyokong seratus peratus usaha atau tindakan yang membabitkan kekuatan dan keharmonian,” katanya kepada media di majlis pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Mereka turut berkeyakinan parti dan kerajaan yang diterajui Ismail Sabri dan Ahmad Zahid akan mempunyai inisiatif dan kerangka terbaik pada PRU-15 yang mengutamakan rakyat.
“Paling utama hari ini adalah kepentingan rakyat selepas pandemik Covid-19. Kerajaan dan parti diharap memikirkan langkah yang terbaik bagaimana memelihara dan memulihara keadaan.
“Saya yakin kerajaan dan parti khususnya yang diterajui Perdana Menteri bersama Pengerusi parti akan dapat melaksanakan satu inisiatif yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost


