Ben Ibrahim
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memerlukan 4,000 lagi anggota tambahan selaras dengan penambahan aset baharu diterima agensi itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, permohonan perjawatan tambahan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan.
“Perkara ini (pertambahan jawatan) sudah dalam perhatian JPA, namun begitu kita merasakan agak sukar untuk mereka memberi penambahan sumber manusia (anggota) dalam keadaan ekonomi ketika ini.
“Bukan Maritim Malaysia sahaja yang perlu penambahan anggota, agensi lain pun ada dan kita memahami agak sukar kerana membabitkan sumber kewangan yang banyak,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Terdahulu, Saiful Lizan menghadiri perbarisan tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 16/2021 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Gebeng, Kuantan.
Seramai 179 pelatih terdiri daripada 158 lelaki dan 20 wanita berjaya menamatkan latihan di selama sembilan bulan di akademi itu.
Saiful Lizan menjelaskan, penambahan keanggotaan ini adalah antara perancangan strategik Maritim Malaysia 2040 untuk memastikan agensi itu mempunyai sumber manusia mencukupi.
Buat masa ini Maritim Malaysia mempunyai 5,303 pegawai dan anggota yang berkhidmat di seluruh negara. – Malaysiapost


