Tangani segera kejatuhan nilai ringgit – Guan Eng

0
2

KERAJAAN mesti menerima pakai reformasi struktur ekonomi dengan segera untuk mengawal penurunan begitu cepat ringgit yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun semalam iaitu RM4.54 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata jika tindakan itu tidak dilakukan, kesan buruk inflasi akan berlaku terhadap perniagaan, kos sara hidup rakyat dan hutang kerajaan dalam dolar AS.

Ahli Parlimen Bagan itu memberikan contoh hutang negara yang berlaku pertambahan susulan situasi berkenaan.

“Kerajaan perlu membayar tambahan RM7.7 bilion untuk membayar balik prinsipal tiga bahagian bon dolar AS berjumlah AS$6.5 bilion yang telah diaturkan oleh Goldman Sachs untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Bon AS$6.5 bilion dolar yang diterbitkan pada tahun 2012 (AS$1.75 bilion pada 5.75 peratus setahun dan AS$1.75 bilion pada 5.99 peratus setahun) dan pada 2013 (AS$3 bilion pada 4.4 peratus setahun), akan matang pada 2022 dan 2023 apabila kekuatan dolar AS berada pada tahap tertinggi di dalam 24 tahun.

“Pada RM3.35 berbanding dolar AS apabila tiga bon 1MDB AS$ diterbitkan, jumlah prinsipal AS$6.5 bilion akan mencecah kira-kira RM21.8 bilion. Pada kadar pertukaran semasa RM4.54 kepada dolar AS, jumlah prinsipal yang perlu dibayar untuk AS$6.5 bilion akan menjadi lebih tinggi pada RM29.5 bilion — atau RM7.7 bilion lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, faedah terkumpul sepatutnya berjumlah lebih RM1 bilion setahun dan RM10.5 bilion dalam sedekad yang lalu, namun ringgit yang lebih lemah tahun ini bermakna kos faedah tahunan adalah sekitar RM1.5 bilion dan bukannya RM1 bilion.

“Ringkasnya, ringgit yang lebih lemah akan menyebabkan Kerajaan Persekutuan dan rakyat Malaysia perlu membayar tambahan RM7.7 bilion ringgit hanya untuk membayar balik prinsipal bon 1MDB bernilai AS$ 6.5 bilion.

“Mengapa pemimpin Umno dan Perdana Menteri memilih untuk berdiam diri mengenai kerugian berbilion ringgit yang besar ini akibat penyusutan nilai ringgit?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here