Jabatan Imigresen gempur kawasan projek pembinaan

0
1

SERAMAI 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang di Kawasan Projek Perumahan, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang hadir sama dalam operasi berkenaan, berkata seramai 36 warga asing diperiksa, dan daripada jumlah itu 25 ditahan membabitkan 24 lelaki dan seorang wanita.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 11.15 malam itu, warga asing yang ditahan adalah membabitkan kesalahan tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan dokumen yang meragukan.

Beliau berkata, tangkapan membabitkan 10 lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki Indonesia, lima lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Nepal.

“Semua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan untuk siasatan lebih lanjut kerana terdapat dalam kalangan mereka menggunakan dokumen meragukan khususnya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki tidak tulen,” katanya.

Hadir sama dalam operasi berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban dan Pengarah Imigresen Negeri Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin.

Menurut Khairul Dzaimee, operasi yang dijalankan itu adalah yang ke-261 dijayakan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sama seramai 193 warga asing bersama 32 majikan ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen di Pulau Pinang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here