Bajet 2023: Prioriti kukuhkan nilai ringgit – Ku Li

0
1

PENGUKUHAN nilai ringgit antara prioriti dalam Bajet 2023 bagi mengelakkan mata wang negara terus mengalami kejatuhan tidak terkawal semasa proses tukaran asing dilakukan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, kejatuhan nilai ringgit akan membawa kerugian kepada negara apabila nilai barangan di pasaran tempatan akan mengalami susut nilai sehingga membolehkan pihak luar datang membeli dengan harga murah.

“Sejauh mana kita mahu lihat ringgit jatuh dalam pasaran dunia? Adakah kita mahu tunggu sehingga nilai mata wang itu kembali ke era pendudukan Jepun dahulu yang mana kita tidak mampu bayar barangan dibeli?

“Saya harap kerajaan akan cuba kawal kejatuhan ringgit kerana tiada alasan untuk membiarkan situasi ini berterusan,” katanya dipetik Utusan Online.

Bekas Menteri Kewangan itu menjelaskan, situasi berkenaan berlaku disebabkan oleh kejatuhan produktiviti atau daya pengeluaran negara dan peningkatan kebergantungan kepada barangan import.

Beliau berkata, Malaysia perlu menjadi negara pengeluar dan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan perkara begini pernah ditekankan pada era Tan Sri Khir Johari menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian dahulu.

“Langkah berkenaan akan membolehkan Malaysia melawan kenaikan harga barangan dari luar negara di samping membuka lebih banyak peluang kerja kepada rakyat.

“Ia juga membolehkan negara mempertingkat kemahiran dalam kalangan rakyat sekali gus menurunkan kos. Kita boleh kawal selia barangan import yang mahu dipasarkan di negara ini kerana mempunyai ilmu berkenaan pengeluarannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ku Li memberitahu pernah terbaca mengenai cadangan untuk mencetak sebanyak mungkin wang di media sosial sebagai langkah untuk mengukuhkan nilai ringgit dalam pasaran antarabangsa.

Menurutnya, cadangan tersebut sebenarnya salah dan akan lebih merugikan kerana ia akan menyebabkan lambakan wang dalam sistem sekali gus akan menyebabkan nilai ringgit jatuh lebih teruk. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here