Umno kuat jika Pemudanya kuat – Zaid Ibrahim

0
1

PEMUDA perlu bekerja kuat kerana pilihan raya bukanlah sesuatu yang mudah dan Umno atau Barisan Nasional (BN) akan kuat apabila Pemudanya kuat, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang mengumumkan kembali menyertai Umno, berkata untuk itu, Pemuda perlu dilengkapkan dengan pelbagai persediaan terutama pendidikan, sains dan teknologi.

Menurutnya, ketika dahulu Pemuda dipimpin oleh pimpinan yang berusia, namun pemikiran dan wawasan serta arah tuju parti diperjuangkan mereka tanpa apa-apa kebimbangan.

“Inilah yang diperlukan oleh Pemuda Umno iaitu kesungguhan, keberanian dan maju kehadapan demi untuk bangsa dan negara.

“Tetapi dalam soal perjuangan kita kena ambil sedikit pendekatan baru. Pendekatan yang berbeza daripada perjuangan dahulu.

“Kalau dahulu kita cukup dengan keberanian Mat Kilau melawan British. Kalau dulu kita kena berani berperang, tetapi hari ini peperangannya sudah berbeza dan musuhnya juga berbeza,” katanya menerusi video di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai pesanan kepada Pemuda sempena pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Zaid berkata, kemampuan untuk melawan ketika ini juga sudah berbeza di mana dahulu masyarakat kuat melawan melalui ketenteraan dan keberanian melawan musuh, namun hari ini musuh sudah mempunyai kekuatan dan kekayaan yang lebih.

Menurutnya, musuh yang dihadapi kini adalah yang mempunyai teknologi dan kepakaran sains, serta data dan algoritma selain kecerdasan buatan (AI).

“Untuk menyiapkan parti, Pemuda perlu dilengkapkan dengan pendidikan yang tinggi, sains dan komputer serta bermacam-macam lagi. Inilah cabaran masa kini yang berbeza.

“Kalau dulu kita ingin melihat orang Melayu menjadi angkasawan, kita hanya hantar dengan pesawat ke angkasa lepas, tetapi kita sedar itu tidak memadai.

“Selagi hanya ada enam hingga tujuh jam sehari untuk sains dan matematik seminggu di sekolah, tidak mungkin kita akan dapat melahirkan seorang angkasawan atau saintis atau mereka yang boleh pergi ke angkasa lepas,” katanya.

Beliau berkata, semangat sahaja semata-mata tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan tindakan yang perlu diambil untuk memperkukuhkan bangsa.

“Ungkapan kita boleh sahaja tidak mencukupi..kita perlu proses dan pendidikan yang tinggi. inilah yang perlu Pemuda Umno tekankan dan perjuangkan setiap masa. Kita tidak mahu percakapan atau slogan diungkapkan hanya kosong.

“Kita tidak mahu ‘Malaysia Boleh’ tetapi sebenarnya tidak boleh, kita mahu seperti takkan Melayu hilang di dunia, tetapi kalau tidak hilang pun tetapi mundur apa gunanya. Jadi itulah pesanan saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here