JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menolak dakwaan akan berlaku banjir besar susulan hujan berterusan pada penghujung November ini.
Ketua Pengarah, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ini kerana pihaknya tidak mempunyai kaedah tepat untuk meramalkan banjir lebih awal seperti yang hangat diperkatakan ketika ini.
“Untuk ramalan dua bulan lebih awal banjir besar berlaku (November) memang tak ada kaedah tepat. Tidak dinafikan kemungkinan tu ada, cuma di mana kawasan paling terjejas atau bila, kita tak tahu,” katanya seperti dilapor Kosmo Online.
Beliau berkata demikian ketika Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Dewan Wawasan Markas (Smart) anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Bagaimanapun, katanya, pemantauan teliti tetap akan dilakukan setiap masa bagi memastikan sebarang kemungkinan bencana dapat diuruskan dengan baik.
“Kami akan tingkatkan pemantauan cuma kami hanya boleh dikeluarkan amaran seawal satu ke tiga hari lebih awal. Menjadi tanggungjawab kami untuk perbetulkan persepsi bahawa banjir berkala besar akan berlaku penghujung November ini,” katanya. – Malaysiapost

