SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan agar bendera Selangor dikibarkan separuh tiang bermula Sabtu sehingga Isnin ini.
Ia bagi menzahirkan hubungan baik baginda dengan Ratu Elizabeth II dan sebagai tanda menghormati kemangkatan baginda Ratu pada 9 September 2022.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim menerusi kenyataan berkata titah tersebut juga adalah sebagai tanda menghormati kemangkatan baginda Ratu yang telah mangkat di Istana Balmoral (Scotland) selepas 70 tahun menaiki takhta dan merupakan monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.
“Selaras titah tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 14 September 2022 telah menjunjung titah dan mengarahkan agar semua jabatan dan agensi di Selangor mengibarkan bendera negeri separuh tiang atas perkenan baginda Sultan,” katanya. – Malaysiapost

