PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu yang meninggal dunia, pagi tadi.
Ismail Sabri berkata, mendiang Sammy Vellu banyak berjasa kepada negara serta masyarakat India di negara ini.
“Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008.
“Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989-1995. Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara,” katanya menerusi Facebook.
Perdana Menteri berkata, Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
“Banyak sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Jasa beliau akan terus dikenang,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Samy Vellu meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya kira-kira jam 7 pagi tadi.
Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebooknya. – Malaysiapost

