PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 13 Oktober ini.
Anwar berkata beliau akan mempersembah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana disebutkannya sebelum ini.
“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada 22 September lalu, Anwar dalam sidang media khas di ibu negara, mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, Ahli Parlimen Port Dickson itu gagal mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN). – Malaysiapost

