MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kononnya 13 menteri Kabinet positif Covid-19 seperti tersebar di media sosial.
Beliau berkata setakat ini anggota Kabinet yang positif Covid-19 hanyalah menteri yang mengesahkan keadaan kesihatan beliau di media sosial, seperti diketahui ramai.
“Selain dari menteri tersebut, menteri lain berada di rumah kerana menjalani kuarantin wajib disebabkan mereka adalah kontak rapat semasa mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited menangani penyebaran berita palsu.
“Kita tidak bertoleransi kerana ia akan menyebabkan panik kepada orang ramai dan kekecohan kepada negara.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan berita tidak sahih tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Sehingga hari ini, katanya, sebanyak 270 kertas siasatan dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.
“Daripada jumlah itu, 133 kes masih dalam siasatan, 35 individu telah didakwa dengan 19 mengaku bersalah,” katanya.
Kelmarin, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesahkan beliau positif Covid-19.
Berikutan itu, mereka yang hadir mesyuarat khas MKN termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjalani saringan dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Perdana Menteri bersama beberapa menteri lain telah mengesahkan mereka negatif Covid-19 namun terus menjalani kuarantin. – Malaysiapost

