Labur, buka perniagaan cara mudah cuci wang haram

0
2

Muhammad Hasif Hassan

[Sudut Pandang] Ada rakan bertanya mengenai kisah seorang artis yang dikatakan menerima sejumlah wang daripada pihak ketiga bagi tujuan pelaburan dan perniagaan.

Artis berkenaan dipanggil untuk disoal siasat.

Saya tidak mahu mengulas mengenai siasatan kes cuma sekadar berkongsi pengalaman mengendalikan kes money laundering atau pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pihak tidak bertanggungjawab yang mendapat wang dengan cara haram seperti perjudian, pelacuran, dadah, peras ugut, penipuan, pemerdagangan manusia, rasuah dan lain lain aktiviti haram tidak akan memasukkan wang ke bank kerana prosedur bank yang banyak, ketat dan menyusahkan mereka.

Mereka mempunyai cash atau tunai yang banyak di tangan.

Bank mengkehendaki pendeposit menjelaskan sumber wang berkenaan dengan dikawalselia oleh Bank Negara.

Cara mudah bagi mencuci wang haram adalah melalui pelaburan di mana mana perniagaan atau membuka perniagaan.

Jangan terkejut jika walaupun tiada pelanggan dan business, perniagaan tersebut tidak ditutup dan mungkin akan menambahkan lagi outlet atau rangkaian. Ini bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa dengan pengalaman yang ada masih boleh mengesan dan mengenalpasti pihak pihak yang tidak bertanggungjawab ini dan aktiviti mereka.

Antara kenderaan mewah dirampas SPRM berkaitan sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Jadi nasihat saya bagi yang menerima pelaburan atau rakan kongsi, pastikan sumber wang yang digunakan atau dilaburkan adalah betul dan ‘halal’, supaya tuan puan tidak terbabit dalam aktiviti money laundering.

Pelbagai hukuman yang menanti pesalah seperti harta, kenderaan dirampas pihak berkuasa, akaun bank dibekukan dan juga terdapat hukuman pemenjaraan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kita jaga kita, bukan hanya untuk Covid-19 tetapi juga untuk money laundering.

Penulis ialah peguam kanan