‘Hanya MoU 2.0 PH-kerajaan mampu tawar moratorium pinjaman’ – Guan Eng

0
3

MORATORIUM pinjaman bank hanya akan berlaku jika terdapat satu lagi Memorandum Persefahaman (MOU) 2.0 yang serupa antara Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, kata Lim Guan Eng.

Malah, Pengerusi DAP itu juga berpandangan, ianya hanya akan terlaksana sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun depan dan bukannya pada tahun ini.

Katanya, ia dibuktikan apabila MOU bersejarah yang ditandatangani antara PH-Kerajaan pada 13 September 2021, bersetuju dengan cadangan untuk memberi pengecualian kadar faedah dan moratorium pinjaman bank untuk kumpulan berpendapatan rendah.

“Ia berserta suntikan tunai tambahan RM45 bilion untuk memberi bantuan kewangan tambahan dan geran bagi membantu perniagaan terutamanya PKS.

“(Hakikatnya) faedah tambahan yang dinikmati oleh orang ramai dan perniagaan hari ini adalah hasil langsung daripada MOU yang ditandatangani antara semua pemimpin tertinggi PH dan Perdana Menteri (terdahulu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada pihak mengatakan keputusan pemberian moratorium adalah bergantung kepada bank, ia sebenarnya adalah kemahuan politik dan bukan pertimbangan perbankan swasta seperti mana yang berlaku apabila MOU pertama ditandatangani.

“PH akan memberikan sokongan politik dan awam yang diperlukan bukan sahaja untuk moratorium pinjaman bank tetapi juga untuk pengecualian kadar faedah bagi tempoh tertentu untuk membantu kumpulan sasar.

“Kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat berbanding pertimbangan keuntungan yang lebih daripada cukup bagi sektor perbankan,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan mungkin terlalu optimis bahawa trajektori pertumbuhan ekonomi yang teguh tahun ini akan mengatasi semua isu asas ekonomi.

“(Ia termasuk) yang berkaitan dengan gaji yang tidak naik, kuasa beli pengguna yang semakin berkurangan dan hasil perniagaan.

“Bagaimanapun, pertumbuhan tersebut tidak sekata berikutan pelbagai cabaran baharu seperti harga makanan yang melambung tinggi dan peningkatan kos yang berkaitan dengan inflasi global.

“.. yang disebabkan perang Ukraine dan gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh asing yang masih tidak dapat diselesaikan, penyusutan nilai ringgit, penggubalan dasar tidak konsisten dan berubah-ubah, karenah birokrasi dan tadbir urus yang lemah,” katanya.

Justeru, menurut Guan Eng, atas sebab itu, PKS memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan, termasuk moratorium pinjaman bank dan pengecualian kadar faedah.

“Ini untuk memastikan perniagaan mereka dapat bertahan pasca pandemik seperti fasa pandemik Covid-19.

“Ringgit turun lebih rendah berbanding dolar AS semalam pada RM4.51 memberi tekanan kepada kos input dan bahan yang diimport bagi banyak perniagaan, terutamanya PKS,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here