DAP akan bertanding di beberapa kerusi Bersatu – yang dimenangi parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu disahkan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim yang menyatakan hasrat parti itu sudah dibincangkan bersama gabungan PH, lapor Malaysia Gazette.
“Kita memang bincangkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu.
“DAP juga berhasrat untuk bertanding dalam beberapa kerusi-kerusi tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di ibu negara hari ini.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam bagaimanapun enggan memperincikan kerusi-kerusi tersebut.
Sementara itu beliau berkata PH telah selesai pembahagian kerusi di lima negeri bagi menghadapi PRU15.
“Pembahagian kerusi dalam perbincangan tapi sehingga minggu lalu kita sudah selesai empat hingga lima negeri.
“Kita sasarkan untuk selesai semua negeri menjelang hujung bulan ini, mesyuarat yang diadakan berlangsung dengan baik dan lancar,” katanya. – Malaysiapost

