Ben Ibrahim
KOPERASI Makmur Malaysia Berhad (KO-MAKMUR) memperkenalkan produk syiling emas bagi memberi peluang kepada orang ramai menyertai pelaburan emas.
Produk itu dilancarkan awal bulan ini dengan menawarkan jualan syiling emas satu gram sebagai pilihan kepada peminat emas memulakan simpanan mereka.
Pengerusi KO-MAKMUR, Khairul Azam Awang, berkata pengenalan produk itu juga adalah antara perancangan jangka panjang syarikat selepas pandemik Covid-19 berakhir.
“Sekarang kita sudah berada di fasa pemulihan, jadi kita fikir perlu memperkenalkan produk baharu untuk diberikan pilihan kepada pelanggan.
“Jadi, kita sudah lancarkan syiling emas Makmur Gold dan harga ditawarkan juga sangat berpatutan untuk mereka (pelanggan) yang ingin memulakan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program bubur asyura Makmur Gold bersama komuniti di Taman Indera Sempurna, Kuantan, Pahang, pagi tadi.

Sebanyak 10 kawah bubur asyura dimasak secara bergotong-royong oleh kira-kira 200 penduduk sekitar taman perumahan itu.
Ditanya mengenai pembukaan cawangan baharu kedai emas Makmur Gold, Khairul Azam berkata, pihak KO-MAKMUR akan melancarkan sebuah lagi premis di Putrajaya, bulan depan.
Katanya, pembukaan cawangan berkenaan adalah bagi memenuhi pemintaan pelanggan dan peminat barangan kemas di kawasan pusat pentadbiran kerajaan itu.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Indera Sempurna, Azri Mansor ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada Makmur Gold kerana memilih taman itu bagi program berkenaan.
“Ini adalah satu sejarah jugalah sejak taman dibuka, sebelum ini tidak ada program berskala besar dibuat di sini membabitkan semua 10 KRT yang ada di sini,” katanya. – Malaysiapost

