Pemuda sakit buah pinggang kronik mohon bantuan

0
3

Ben Ibrahim 

SEORANG pemuda memohon sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima. 

Muhammad Faiz Fahmi Mohd Zulkifli, 21, yang menetap bersama keluarganya di Balok Permai, dekat Kuantan, Pahang dikesan menghidap penyakit itu bulan Jun lalu. 

Pada awalnya dia mengalami sakit kepala luar biasa sebelum melakukan pemeriksaan di klinik berhampiran sebelum dikesan menghidap penyakit itu. 

“Hampir seminggu saya mengalami sakit kepala dan muntah sebelum ke klinik bagi pemeriksaan. 

“Saya terkejut apabila dimaklumkan menghidap penyakit buah pinggang dan tak sangka simptom dialami adalah disebabkan masalah buah pinggang kronik. 

“Lagipun, saya tidak mempunyai tanda seperti bengkak muka atau kaki yang biasanya dialami pesakit buah pinggang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini. 

Dia turut berkata, pengesahan penyakit itu dibuat selepas pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan. 

Katanya, doktor menyarankan dia menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu bagi mengatasi penyakit itu. 

“Buat masa ini, saya hanya mengharapkan ubat darah tinggi yang dibekalkan pihak HTAA kerana tekanan darah saya didapati meningkat. 

“Sekarang saya memang tak boleh bekerja dan lebih menyukarkan keluarga kami, bapa saya juga baru diberhentikan kerja,” katanya lagi. 

Sebelum ini, bapanya, Mohd Zulkifli Ismail, 47, bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini. 

Bagaimanapun, operasi kilang itu baru dihentikan Julai lalu, mengakibatkan bapanya tidak mempunyai kerja dan sumber pendapatan. 

Sementara itu, Mohd Zulkifli berkata, dia tidak menyangka Muhammad Faiz mengalami masalah buah pinggang memandangkan anaknya itu seorang yang aktif dan sihat. 

Bapa kepada empat anak itu memberitahu, dia mengharapkan duit pampasan dan simpanan bagi meneruskan kehidupan mereka sekeluarga. 

“Tiga lagi adik Muhammad Faiz masih bersekolah dan kami terpaksa berjimat kerana sebelum ini dia (Muhammad Faiz) banyak membantu keluarga ketika dia masih boleh bekerja. 

“Untuk rawatan dialisis pula, kena buat pembedahan kecil terlebih dahulu sebelum boleh mulakan (rawatan), kosnya kira-kira RM4,000 dan dalam keadaan (kewangan) sekarang, kami memang tak mampu,” katanya lagi. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Muhammad Faiz di talian 012-9639040 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Ambank 8881033856677 atas nama Muhammad Faiz Fahmi Mohd Zulkifli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here