Ibu hamil, menyusu anak disaran dapatkan dos penggalak kedua – KKM

0
2
vaksin uitm

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesyorkan wanita hamil atau ibu yang menyusukan bayi perlu mendapatkan dos penggalak kedua Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ini berikutan wanita yang mengandung dikategorikan sebagai golongan rentan kerana berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat jangkitan Covid. 

“Tambahan lagi, jangkitan Covid-19 juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang seterusnya boleh menjejaskan kehamilan dan perkembangan bayi.

“Data sedia ada menunjukkan bahawa vaksin mRNA berkesan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk semasa kehamilan. 

“Antibodi yang dihasilkan setelah wanita mengandung tersebut mengambil vaksin turut dikesan pada bayi dan boleh membantu melindungi bayi tersebut daripada jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Khairy, data keselamatan vaksin sedia ada juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko keguguran, komplikasi kehamilan dan kecacatan kelahiran, mahupun sebarang kebimbangan ke atas aspek keselamatan bagi wanita mengandung yang menerima vaksin mRNA.

“Berdasarkan data-data sedia ada, wanita mengandung dan menyusu anak boleh menerima vaksin dos primer atau dos penggalak Covid-19. 

“Bagi wanita yang berisiko mendapat penyakit yang teruk akibat Covid-19, mereka juga boleh menerima dos penggalak kedua pada bila-bila masa sepanjang tempoh kehamilan,” katanya.

Beliau berkata, saranan ini juga selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut mengesyorkan pemberian dos penggalak kedua untuk wanita yang hamil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here