KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dijadikan sebagai pilihan, berkuat kuasa hari ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun ketepatan baharu itu boleh ditentukan oleh pemilik premis sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.
“Namun orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan bahawa pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi beberapa situasi.
“Iaitu kes positif Covid-19; menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.
“Termasuk semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” katanya.
Tambahnya, KKM juga amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung membeli belah dan rumah-rumah ibadah.
“Selain itu, individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema; dan individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung; dan Melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, keperluan bagi pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.
“Walaubagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak; individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema dan individu berisiko tinggi.
“Termasuk melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

