SPRM jumpa RM100,000 di rumah pegawai polis

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai RM100,000 di rumah seorang pegawai polis yang ditahan semalam, dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengubahan wang haram.

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, SPRM turut menahan enam lagi pegawai dan anggota polis dalam beberapa siri penahanan sejak semalam.

“Seramai tiga pegawai kanan ditahan manakala lima lagi anggota lain-lain pangkat.

“SPRM menemui wang tunai RM100,000 di rumah salah seorang pegawai yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” kata sumber itu.

Menurutnya, hari ini seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ditahan dipercayai kenalan kepada lelaki bergelar ‘Datuk’ yang ditahan sebelum ini.

“Anggota berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan pembabitannya di dalam kumpulan sindiket itu,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan terdapat pasangan selebriti dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes pengubahan wang haram.

Difahamkan, pihak berkenaan menggunakan nama beberapa artis dan perniagaan mereka untuk menjalankan aktiviti “cuci duit” bagi untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Tiga lagi lelaki turut ditahan selepas itu bagi membantu siasatan. – Malaysiapost