Satu lagi kluster penjara dikenalpasti

0
1

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster dalam penjara di negara ini, iaitu Kluster Reman di Pulau Pinang yang setakat ini sudah menjangkiti tujuh individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks bagi kluster di daerah Timur Laut itu adalah kes kematian ke-141 iaitu lelaki warganegara berumur 85 tahun.

Katanya, kes telah dijumpai tidak sedarkan diri pada awal semalam di dalam penjara.

Menurutnya, individu tersebut disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, dan saringan Covid-19 yang dijalankan pada hari sama dikesan positif.

“Sejumlah 286 individu telah disaring. Tujuh dikesan positif Covid-19 manakala 78 individu negatif dan 201 lagi masih menunggu keputusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara kluster dalam penjara sebelum adalah Kluster Tembok di Kedah dan Kluster Benteng LD di Sabah.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu merentasi negeri dikenali Kluster Bah Puchong dikenalpasti di Selangor iaitu di daerah Petaling, dan di Perak membabitkan daerah Larut, Matang, Selama serta Kinta.

Katanya, kes indeks bagi kulster itu dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah.

“Sehingga hari ini, sejumlah 39 individu telah disaring. Di Selangor tiga individu positif Covid-19 dan sembilan lagi masih menunggu keputusan.

“Di Perak pula 27 individu telah menjalani saringan dan didapati dua kes adalah positif, manakala 25 lagi menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost