‘Abah’ rotanlah dulu para menteri…

0
2

Aiman Hanif

[ SUDUT PANDANG ] MESKIPUN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa peningkatan kes positif Covid-19 terkawal, namun rakyat sedang gelisah dan ketakutan dengan peningkatan kes yang mendadak.

Di media sosial, masyarakat mula meluahkan kegelisahan mereka khususnya nasib anak-anak yang bersekolah.

Walaupun peningkatan kes itu terkawal kerana penularan membabitkan individu dalam penjara dan kawasan zon merah, namun kegusaran dalam kalangan ibu bapa misalnya sangat jelas.

Lebih malang, kerajaan dilihat gagal bertindak dengan cermat menangani dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung peningkatan kes Covid-19 yang meningkat secara mendadak.

Semalam, ketika rakyat mula cemas dengan spekluasi peningkatan kes positif yang didakwa meningkat hampir 1,000 kes, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil di kaca televisyen meminta rakyat supaya tidak panik.

Penggunaan ayat “Maaflah jika abah terpaksa merotan”, nampaknya menjadi ungkapan yang telah memakan diri sendiri.

Mana tidaknya, dikala Perdana Menteri menekankan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan kiasan untuk “merotan”, dalam masa sama ada menterinya yang melanggar peraturan.

Kemarahan orang ramai terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang tidak melalui proses kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara tidak dapat dinafikan lagi.

Malah, dijadikan modal politik oleh pihak lawan untuk menggambarkan pelaksanaan undang-undang yang bersifat “double standard” meskipun Khairuddin telah memohon maaf dan menyumbang wang gajinya kepada tabung Covid-19 negara.

Bahkan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendakwa menteri PAS itu di mahkamah bagi mengawal kemarahan rakyat selain mengelaknya daripada menjadi senjata pembangkang.

Begitu juga disusuli dengan beberapa keputusan kurang bijak oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dipimpin Datuk Noraini Ahmad.

Keputusan membatalkan pendaftaran secara fizikal mahasiswa di universiti pada saat akhir telah mengundang kemarahan orang ramai bahkan memberi masalah kepada mahasiswa dan keluarganya.

Tindakan kurang cermat KPT telah memberi kesan buruk secara tidak langsung kepada kerajaan dalam menangani peningkatan wabak Covid-19.

Begitu juga dengan Menteri Pendidikan yang hanya “diam membisu seribu bahasa” ketika ibu-bapa dalam keadaan cemas memikirkan nasib anak-anak mereka dengan angka wabak Covid-19 terus meningkat.

Orang ramai menyuarakan pandangan supaya sekolah ditutup kerana khuatir dengan penularan wabak, namun di pihak Kementerian Pendidikan bagaikan tiada respon terhadap kegelisahan masyarakat dan bagaikan menteri yang ada tidak berfungsi.

Tidak dinafikan, masyarakat kita juga semakin alpa dan lupa dengan ancaman wabak Covid-19, sehinggakan ada segelintir mengabaikan peraturan-peraturan yang sepatutnya.

Juga, tidak dinafikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah mencetuskan gelombang baharu Covid-19 kerana kerakusan para politikus yang gilakan kuasa.

“Abah” kena ingat, imejnya naik dan disukai rakyat kerana kemampuan kerajaan pimpinannya mengawal Covid-19 pada gelombang pertama penularan wabak ini.

Jangan biarkan gelombang Covid-19 kali ini menjadikan imej “Abah” yang “cantik” diburukkan dek kerana kegagalan menteri untuk berfungsi bagi menyenangkan rakyat.

Oleh itu Abah, “rotanlah” dulu para menteri sebelum “merotan” rakyat.- Malaysiapost