Nurul Huda Abhar
KERAJAAN mengambil keputusan menutup semua sekolah di daerah yang telah disahkan sebagai zon merah bermula esok.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memberitahu ia selaras dengan perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berhubung keputusan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan zon merah di seluruh negara.
“Sehubungan itu, semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta di daerah Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah akan ditutup bermula 8 Oktober sehingga 23 Oktober.
“Ini akan melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di daerah Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu turut memberitahu sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup.
Oleh itu, katanya, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama untuk pulang.
”Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah
akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, sekolah yang terlibat dan kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.
Sementara itu, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
“KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

