POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan balai polis seluruh negara mengeluarkan notis amaran mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan untuk aktiviti jenayah.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata satu mesej dikesan tular di media sosial yang didakwa sebagai “notis amaran dari KDN dan balai polis seluruh negara.
Menurutnya, mesej itu mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah sebagai taktik untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang.
Beliau berkata, mesej berkenaan juga mendakwa mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak sedemikian ke alamat yang tertera dikatakan akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol.
“PDRM mengesahkan mesej yang ditularkan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN atau PDRM.
“Semakan juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden Jenayah sepertimana ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus menghantar ke balai polis berdekatan sekiranya ada menjumpai kanak-kanak sepertimana mesej yang tular berkenaan.
“PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas serta ditentukan kesahihannya,” katanya. – Malaysiapost

