MESYUARAT Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara bersetuju untuk menubuhkan Pusat SDG Negara termasuk penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penubuhan itu adalah bagi memperkasakan agenda pembangunan mampan negara.
Katanya, pusat SDG Negara akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.
“Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara, hari ini yang diadakan julung kali sejak penubuhannya pada 2016.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri.
Katanya, sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.
“Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.
“Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost

