La Nina dijangka hingga Disember – MetMalaysia

0
1
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula 24 Oktober ini sehingga Mac tahun depan dengan empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku dalam tempoh tersebut.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan La Nina yang sedang berlaku ketika ini dijangka berterusan sehingga Disember ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, Malaysia kini masih lagi berada dalam Monsun Barat Daya dan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan kerana keadaan atmosfera lebih stabil yang mengurangkan pembentukan awan hujan.

Katanya, bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir disebabkan oleh fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” menurut kenyataan itu.

Pada September ini, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 100 milimeter (mm) hingga 450mm, kecuali di Hulu Perak, Kelantan dan utara Terengganu yang dijangka menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100mm hingga 200mm.

“Kuching, Samarahan dan Sri Aman di Sarawak dijangka akan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu di antara 300mm hingga 350mm manakala bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 200 mm hingga 350mm.

“Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 350mm,” katanya.

MetMalaysia memaklumkan, Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada November dan berakhir pada Mac.

Menurutnya, semasa tempoh monsun Timur Laut, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.

“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak dengan kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100mm hingga 900mm.

“Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu di antara 300mm hingga 400mm. Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400mm,” katanya.

Manakala, pada Disember, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 50mm hingga 850mm.

“Di Sarawak, semua bahagian dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata iaitu di antara 350 mm hingga 450mm, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 300 mm hingga 400mm.

“Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 450 mm,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here